Budaya Membaca al-Quran adakah sudah berakhir sebaik sahaja berakhirnya Ramadhan
Persoalan seterusnya, kenapa suasana ini hanya berlaku pada bulan Ramadhan?
Adakah al-Quran ini diturunkan hanya untuk dibaca pada bulan Ramadhan? Apakah fadhilat membaca al-Quran terdapat pada bulan Ramadhan sahaja?
Kenapa di bulan Ramadhan kita boleh mencari masa untuk membaca al-Quran?
Apakah perjuangan Rasulullah saw, para sahabat dan generasi yang selepas mereka yang begitu bertungkus lumus untuk menegakkan al-Quran, disambut oleh genarasi kita hanya dengan membacanya pada bulan Ramadhan?
Apakah kita telah memahami atau cuba untuk untuk memahami segala isi kandungan al-Quran untuk diamalkan di dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah sekeliannya? Tepuklah dada, tanyalah hati yang dipandu oleh iman dan wahyu Ilahi.
Oleh itu, marilah wahai umat Muhammad! Generasi penyambung perjuangan Rasulullah saw dan para salaf al-salih. Ayuh! Dengan daya upaya dan segala kudrat yang ada, kita tegakkan tuntutan al-Quran dan jadikannya bacaan rutin kita seharian. Usah biarkan al-Quran terus tersimpan di dalam almari atau rak-rak samada di masjid-masjid atau di rumah. Mana-mana rumah yang masih belum ada Al-Quran dan terjemahannya, dapatkannya sekarang juga. Bagi mereka yang masih belum lancar al-Quran, jangan malu dan segan untuk terus belajar dan belajar, lagi dan lagi. Marilah kita membaca al-Quran dengan cuba untuk memahami isi kandungannya.
Al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dipertandingkan, tetapi sebagai kitab hidayah untuk memandu kita hidup di dunia ini supaya kita mengetahui yang mana satu jalan yang betul dan jalan yang sesat. Untuk renungan, perhatilah dengan mata hati ganjaran yang dijanjikan untuk mereka yang sering membaca al-Quran:
Daripada Abu Umamah ra berkata, Aku mendengar Rasulullah saw bersabda bermaksud: ((Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Qiamat sebagai syafaat kepada tuannya)). (Riwayat Muslim)
